Saturday, June 14, 2008

Kaedah kawal Lalat Mangga..

Petani di seluruh dunia mengeluarkan kira-kira 27 bilion mangga (Mangifera indica) pada tahun 2004 menurut tinjauan terkini.
Ini memberikan kelebihan kepada peminat mangga, termasuk lalat buah (Anastrepha spp).
Kini pakar entomologi (kaji serangga) Perkhidmatan Penyelidikan Pertanian (ARS) Amerika Syarikat (AS) David A. Jenkins menemui penyelesaian berteknologi rendah dan murah bagi mengurangkan perebakan lalat buah pada mangga.
Jenkins bertugas di Stesen Penyelidikan Pertanian Tropika di Mayaguez, Puerto Rico.
Di sana, pokok mangga banyak ditanam dan buah masak bertaburan di bawah pokok dan dibiarkan tanpa seliaan. Ini memberikan persekitaran yang sesuai bagi pembiakan lalat buah.
Dalam kajian yang dijalankan, Jenkins dan kumpulan penyelidiknya mengutip mangga yang gugur dan membahagikannya kepada empat kumpulan.
Kumpulan pertama dibiarkan di kawasan teduh sama ada di bawah pokok, kumpulan kedua disimpan di dalam rumah.
Kumpulan ketiga diletakkan di bawah cahaya matahari dan yang keempat dimasukkan di dalam beg plastik hitam dan diletakkan di bawah cahaya matahari.
Penyelidik merekodkan suhu persekitaran dan suhu dalam buah mangga beberapa kali sehari.
Pada cuaca cerah, mangga yang diletakkan pada cahaya matahari menunjukkan peningkatan suhu dalaman dari 52 darjah Celcius (C) ke 58 darjah C.
Buah mangga yang diletakkan di dalam rumah menunjukkan peningkatan 25 darjah C dan mangga di tempat teduh 37 darjah C.
Selepas tiga hari, mangga yang diletakkan di luar dipantau kemunculan larva dan pupa.
Jenkins mendapati mangga yang diletakkan di dalam rumah menghasilkan lebih banyak larva berbanding mangga yang terdedah kepada cahaya matahari.
Di kawasan di mana mangga tidak ditanam secara komersial, buah yang gugur akan dibiarkan tanpa seliaan selama beberapa hari sebelum dikutip dan kawasan yang redup dan dingin di bawah pokok memberikan persekitaran yang sesuai bagi perkembangan lalat buah.
Maka cara mudah mengawal lalat buah ini ialah dengan mengumpul dan membuang buah yang gugur di kawasan kebun. Ia akan membantu mengurangkan peluang pembiakan dan perkembangan lalat buah.


-Menarik...

Hazwan Hussin

No comments: