Monday, April 20, 2009

Serangan Israel keatas Iran

TEL AVIV - Israel menafikan laporan sebuah akhbar Britain bahawa satu serangan besar-besaran dari udara terhadap kemudahan-kemudahan nuklear Iran akan dilancarkan, lapor sebuah akhbar semalam.
Pada Sabtu lalu, akhbar The Times di Britain melaporkan Pasukan Pertahanan Israel sedang melakukan persediaan untuk menyerang infrastruktur nuklear Iran dalam tempoh beberapa hari lagi.
Antara persediaan yang dilakukan itu adalah membeli tiga buah pesawat kawalan jauh.
Serangan itu dilaporkan melibatkan sejumlah besar sasaran termasuk kemudahan utama nuklear di Natanz, Isfahan dan Arak.
Sumber-sumber yang rapat dengan Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata, artikel akhbar The Times itu hanya merupakan satu spekulasi yang tidak berasas dan disiarkan dengan tujuan untuk meminggirkan komuniti penduduk negara tersebut di peringkat antarabangsa.
Sebarang serangan terhadap Iran memerlukan kerjasama Amerika Syarikat (AS) dengan melibatkan jet-jet pejuang tentera Israel terbang melalui ruang udara di Jordan serta Iraq yang dikawal AS.
Israel telah menuduh Iran melakukan proses pengayaan uranium pada gred yang boleh mengeluarkan senjata.
Bagaimanapun, Iran menegaskan ia hanya mengeluarkan uranium gred rendah dengan tujuan untuk menjana tenaga elektrik.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang kembali berkuasa pada 1 April lalu menyokong tindakan ketenteraan ke atas Iran.
Presiden Israel, Shimon Peres pada awalnya menyokong serangan ke atas kemudahan nuklear Iran tetapi kemudian memutuskan bahawa penyelesaian di negara itu bukannya dengan menggunakan pendekatan ketenteraan.
Keputusan untuk mengelak perang dengan Iran itu diputuskan sehari selepas Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates memberi amaran supaya Israel tidak melancarkan serangan udara bersendirian terhadap Iran.
Washington menyatakan ia membuka buku baru selepas pentadbiran Presiden Barack Obama berjanji untuk memulakan hubungan baru dengan Iran. - Agensi

No comments: